KUALA LUMPUR: Hasrat pesara tentera wanita, Fara Fety Zaity Ngah Jaafar, 42, untuk menyumbang bakti sebagai penggali kubur menjadi kenyataan, bermula dengan liang lahad pertama untuk anak bongsunya sendiri.

Fara Fety Zaity menggali liang lahad untuk anak bongsunya daripada tiga beradik, Wardina Aisha Qirana Khairul Faizi, 8, yang meninggal dunia akibat demam pada 4 Mei lalu.

Pengalaman itu menjadi titik permulaan Fara Fety Zaity meneruskan khidmat sukarela bagi membantu keluarga lain yang kehilangan insan tersayang di Tanah Perkuburan Islam Rhaudatul Adly, Lumut, Perak selepas dua minggu pemergian anaknya.

Fara Fety Zaity berkata, fardu kifayah itu dilakukannya atas minat mendalam apabila dia aktif membantu dalam membersihkan kawasan perkuburan termasuk mencabut rumput, menanam pokok dan mencantikkan pusara, sejak empat tahun lalu.