Kuala Lumpur: Pesara tentera wanita yang berhasrat menjadi penggali kubur untuk menyumbang bakti kepada masyarakat, tidak menyangka liang lahad pertama digalinya adalah untuk anak bongsu kesayangannya.
Pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Fara Fety Zaity Ngah Jaafar, 42, menggali liang lahad untuk anak bongsunya daripada tiga beradik, Wardina Aisha Qirana Khairul Faizi, 8, yang meninggal dunia akibat demam pada 4 Mei lalu.
Pengalaman itu menjadi titik permulaan Fara Fety Zaity meneruskan khidmat sukarela bagi membantu keluarga lain yang kehilangan insan tersayang di Tanah Perkuburan Islam Rhaudatul Adly, Lumut, Perak selepas dua minggu pemergian anaknya.
Fara Fety Zaity berkata, fardu kifayah itu dilakukannya atas minat mendalam sejak empat tahun lalu apabila dia aktif membantu membersihkan kawasan perkuburan termasuk mencabut rumput, menanam pokok dan mencantikkan pusara.









