KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor berkata beliau tidak mengetahui sebarang urusan membabitkan bayaran denda RM50 juta yang dikenakan terhadap suaminya, Datuk Seri Najib Razak, bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah.
Rosmah berkata, beliau juga tidak dimaklumkan mengenai sebarang perkembangan berhubung pembayaran denda berkenaan hari ini.
"Saya tidak tahu (mengenai pembayaran denda RM50 juta untuk Najib). Kamu semua lebih tahu. Keluarga juga tidak tahu dan saya tidak dimaklumkan mengenainya," katanya ketika di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau ditemui selepas menghadiri pendengaran permohonannya untuk mengemukakan keterangan baharu dalam kes rasuah projek solar hibrid yang dihadapinya.








