KUALA LUMPUR: Soal menang atau kalah untuk dua aksi persahabatan Tier 1 menentang China dan Yaman bukanlah satu perkara yang wajar menjadi kerisauan besar, sebaliknya keutamaan harus diberikan kepada aspek pendedahan serta penilaian prestasi pemain skuad Harimau Malaya.

Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir menegaskan bahawa perlawanan persahabatan berstatus antarabangsa ini adalah pentas terbaik untuk menguji kemampuan sebenar serta memberikan pendedahan secukupnya kepada barisan skuad kendalian Tan Cheng Hoe.

Menurutnya, penyokong tidak perlu terlalu taksub memikirkan keputusan perlawanan mahupun mata kedudukan ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kerana matlamat utamanya adalah memberi ruang kepada pemain tempatan mengukur standard permainan mereka.