KUALA LUMPUR: Dengan hanya menggunakan beras berwarna, Sivabalan Arumugam mampu menghasilkan karya seni kolam yang rumit dan memukau, sekali gus membuktikan keindahan seni tradisional itu masih mampu bertahan dalam arus kemodenan.

Dengan tangan yang cekap, lelaki berusia 36 tahun itu menyusun butiran beras di atas lantai untuk membentuk pelbagai corak kolam berwarna-warni yang menjadi antara hiasan tradisional masyarakat India ketika musim perayaan.

Bagi pengasas Life Creation and Design Rangoli Kolam itu, sifat seni kolam yang hanya bersifat sementara tidak pernah memadamkan minatnya terhadap seni tradisional berkenaan.

Sebaliknya, kecintaannya terhadap warna mendorong beliau terus mempertahankan seni itu yang sudah diceburi secara profesional selama hampir 21 tahun, selain mencari pendekatan baharu untuk menyesuaikannya dengan ruang moden.