MELAKA: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh optimis kerjasama BN dan Perikatan Nasional (PN) mampu merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Ketua Menteri itu berkata, kesepakatan kedua-dua gabungan menerusi semangat Muafakat Melaka itu berpotensi membawa perubahan besar kepada landskap politik negara, sekali gus membuka laluan lebih luas ke arah Putrajaya.
"Kita rampas kembali Kesidang dan kembalikannya kepada Muafakat Melaka. Itulah yang saya katakan tadi, akan berlaku satu perubahan yang cukup besar.
"Sekiranya kita berjaya di DUN Kesidang, ia menunjukkan satu isyarat yang cukup besar bahawa gerakan di Melaka ini akan membuka langkah yang lebih baik menuju ke Putrajaya," katanya.









