KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan tinggi sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan ketika pelabur menilai prospek kadar faedah AS.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata tumpuan utama pelabur terarah kepada data Indeks Harga Pengguna dan Indeks Harga Pengeluar AS bagi bulan Oktober, yang dijadualkan diumumkan masing-masing pada Selasa dan Jumaat.

"Bacaan inflasi yang lebih rendah boleh memberi tekanan ke atas hasil Perbendaharaan AS dan dolar AS, sekali gus memberikan sokongan kepada ringgit. Bagaimanapun, inflasi yang lebih tinggi daripada jangkaan boleh menjejaskan peningkatan tersebut," katanya kepada Bernama.

Di dalam negara, Mohd Afzanizam berkata angka pengeluaran perindustrian, pasaran buruh, serta perdagangan borong dan runcit Malaysia akan memberikan petunjuk seterusnya mengenai daya tahan ekonomi.