KUALA LUMPUR: Eksesais Cope Taufan 2026 antara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Udara Pasifik Amerika Syarikat (US PACAF) yang berakhir kelmarin memberi tumpuan kepada empat bidang utama operasi ketenteraan.
TUDM menerusi hantaran di Facebook memaklumkan eksesais lima hari itu dilaksanakan menggunakan konsep Tabletop Exercise (TTX) dengan tumpuan kepada kesedaran domain maritim, pertahanan udara dan peluru berpandu bersepadu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta perubatan.
"Eksesais Cope Taufan adalah eksesais bilateral yang bertujuan meningkatkan kebolehoperasian dan keupayaan operasi bersama," menurut hantaran itu.
Majlis penutup di Pangkalan Udara Subang kelmarin dihadiri Timbalan Ketua Staf Operasi Udara, Brigedier Jeneral Ahmad Edros Ahmad Osman serta Assistant Adjutant General merangkap Commander Washington Air National Guard, Brigadier General Kenneth A Borchers.










