Kuala Lumpur: Bermula sebagai hobi untuk mengisi masa lapang, hasil tangan berupa tudung saji berwarna-warni seorang wanita berusia 70 tahun mencuri perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi komen di platform Threads, Anwar menyifatkan hasil seni tangan wanita itu sebagai cantik, malah menyatakan hasrat untuk membelinya sekiranya tudung saji berkenaan dijual.

"Cantik. Kalau jual, saya nak juga boleh? Nak beri hadiah pada Azizah (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail)," katanya hari ini.

Menjawab komen itu, pemilik hantaran berkenaan yang menggunakan akaun @eezalshah berkata, dia akan menyampaikan hasrat Perdana Menteri kepada ibunya dan berusaha memenuhi permintaan berkenaan.