Banda Aceh: Ancaman gajah liar yang berulang kali memasuki kawasan kampung menyebabkan 11 sekolah di enam kampung di Kabupaten Bener Meriah, Aceh beralih kepada pembelajaran jarak jauh sejak Khamis lalu, lapor Jakarta Post.

Langkah sementara itu diambil susulan kemunculan haiwan berkenaan sepanjang minggu lalu yang menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pelajar dan guru. Sesi persekolahan bersemuka hanya akan disambung apabila keadaan disahkan selamat.

Pemangku Ketua Agensi Komunikasi dan Informatik Bener Meriah berkata, keputusan itu dibuat bagi mengutamakan keselamatan pelajar dan guru.

Ketua Agensi Pendidikan Bener Meriah, Saidi berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kemunculan gajah berhampiran beberapa sekolah termasuk di belakang sebuah premis sekolah.