Kuala Lumpur: Menyedari dirinya masih 'hijau' dalam industri seni, pelakon, Ezaidi Aziz tidak bersikap selektif dalam menerima tawaran berlakon.

Menurut Ezaidi atau nama sebenarnya Mohamed Ezaidi Abdul Aziz, dia menerima apa sahaja naskhah yang ditawarkan asalkan ia memberi nilai serta pengajaran kepada orang ramai.

"Saya rasa saya ini siapa nak 'selektif' orang pun tak kenal saya. Saya rasa, saya baru dalam industri, tu saja saya boleh cakap. Sebab itu saya tak kisah terima tawaran berlakon dalam apa saja drama.

"Saya okey saja apa-apa cerita asalkan naskhah itu ada bagi nilai, ada bagi pengajaranlah untuk penonton tengok. Kalau sekadar cerita tu macam tak ada benda, mungkin saya tak terima," katanya ketika ditemui semasa majlis pelancaran Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-38, di Ombak KLCC, di sini, semalam.