Kuala Lumpur: Matrix Concepts Holdings Berhad (Matrix Concepts) menjalin kerjasama strategik bersama Alpro Group dan Mercy Senior Care Centre Sdn Bhd bagi membangunkan AVIDA Mercy Nursing Care Centre di Suria Heights, Bandar Sri Sendayan.

Majlis pecah tanah projek berkenaan yang diadakan baru-baru ini menandakan langkah proaktif kumpulan dalam memperluas tawaran perkhidmatan penjagaan kejururawatan khusus di dalam perbandaran yang sedang pesat membangun itu.

Pusat penjagaan itu direka dengan kapasiti melebihi 130 katil, disasarkan kepada individu yang memerlukan sokongan kejururawatan profesional, rawatan pemulihan, penjagaan pasca keluar hospital serta perkhidmatan rawatan jangka panjang.

Antara skop perkhidmatan yang dirangka merangkumi pemulihan selepas pembedahan, pengurusan pesakit terlantar, pemulihan akibat kemalangan dan pemantauan perubatan berterusan bagi pesakit yang memerlukan jagaan susulan rapi.