MELAKA: Sebanyak 18 kertas siasatan dibuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan pelbagai kesalahan termasuk khianat dan dakwaan sogokan sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata sebanyak 19 laporan polis diterima sepanjang tempoh berkenaan dengan satu daripadanya diklasifikasikan sebagai ROR atau dirujuk kepada laporan lain kerana mempunyai kaitan dengan kejadian sama.

Beliau berkata kesalahan khianat dengan merosakkan harta benda mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (KK) mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu lapan kes.

Ia diikuti empat kes mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954 berkaitan dakwaan sogokan.