PETALING JAYA – Seorang kanak-kanak lelaki menangis di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas kereta mainan yang dipegangnya rosak dan patah, sekali gus mencuri perhatian pengguna media sosial.

Menerusi video dikongsikan pengguna Threads, Heylyzarashid memperlihatkan kanak-kanak lelaki tersebut yang juga anak buahnya sedang menangis sewaktu Perdana Menteri beramah mesra bersama pengunjung pada Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2026 di Shah Alam semalam.

“Simpan sini sebagai kenangan. PMX tengah menyantuni anak buah saya menangis. Kereta mainannya patah, menangis teresak-esak. Lepas tu PMX bagi duit RM50 suruh beli kereta baharu. Saya doakan semoga sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang Allah PMX,” katanya.