KOTA BHARU: Kedudukan dua lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU Kelantan yang berkhidmat sebagai Timbalan EXCO masih belum jelas susulan penamatan pelantikan pengerusi parti itu di negeri berkenaan sebagai EXCO.

Mereka ialah ADUN Paloh, Datuk Shaari Mat Hussain yang menyandang jawatan Timbalan EXCO Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi serta ADUN Gual Ipoh, Bahari Mohd Nor yang juga Timbalan EXCO Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat.

Ketika dihubungi, Shaari berkata, beliau masih belum menerima sebarang maklumat mengenai kedudukannya dalam pentadbiran kerajaan negeri pimpinan PAS setakat semalam.

"Bagaimanapun, saya beranggapan sekiranya pengerusi BERSATU negeri (Datuk Kamarudin Md Nor) digugurkan daripada jawatan EXCO, Bahari dan saya juga akan menerima nasib yang sama secara automatik," katanya.