NIBONG TEBAL – Seramai 16 penduduk membabitkan tiga keluarga berjaya dibawa keluar oleh anggota bomba selepas kediaman mereka dinaiki air dalam kejadian banjir kilat di Kampung Sethu, Sungai Bakap, awal pagi tadi.

Hujan lebat yang berterusan sejak malam tadi menyebabkan beberapa rumah di kampung berkenaan ditenggelami air sehingga paras kira-kira satu meter, sekali gus memerangkap kesemua mangsa.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.40 tengah malam sebelum menggerakkan sepasukan anggota ke lokasi kejadian.

Menurutnya, pemeriksaan sebaik tiba mendapati beberapa kediaman dinaiki air sedalam kira-kira tiga kaki akibat hujan lebat tanpa henti.