Shah Alam: Kerajaan negeri akan mengambil tindakan segera termasuk menaikkan ketinggian ban bagi mengatasi limpahan air susulan banjir di Kampung Melayu Subang.
Exco Infrastruktur, Datuk Izham Hashim berkata, pihaknya sudah mengenal pasti lokasi terbabit dan akan mendapatkan kelulusan kerajaan negeri menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dalam masa terdekat.
"Tempat yang didapati ada limpahan seperti Kampung Melayu Subang... perlu dinaikkan ban di bahagian rendah sebagai penyelesaian awal (quick win), kita akan dapatkan kelulusan kerajaan negeri untuk laksanakan segera.
"Setiap kawasan, keperluannya adalah berbeza. Sebagai contoh, tebing Sungai Pelempas di Kampung Melayu Subang sudah melimpah disebabkan kapasiti sungai yang tidak lagi mencukupi.








