KUALA LUMPUR: Tidak dapat dinafikan, diagnosis kanser menjadi titik perubahan besar dalam kehidupan seseorang, memberikan kesan bukan sahaja ke atas kesihatan fizikal dan emosinya tetapi juga ahli keluarga.
Penyakit antara yang amat ditakuti ini sering dianggap sebagai "hukuman mati", walaupun perubatan moden menyaksikan peluang untuk pesakit pulih dan bebas daripada kanser kian meningkat.
Namun, proses untuk pulih bukan mudah kerana memerlukan pesakit mematuhi pelan rawatan yang ketat termasuk pengambilan ubat secara konsisten.
Dalam konteks ini, pengetahuan mengenai ubat yang diambil amat penting, dan untuk membantu pesakit mengenali dan memahami fungsi ubat-ubatan yang diberikan kepada mereka Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan Program Duta Kenali Ubat Anda.








