Perbincangan mengenai kemerosotan jualan dan pembacaan akhbar Melayu perlu dilihat dalam perspektif yang lebih luas daripada persoalan ekonomi dan perubahan teknologi media. Ia sebenarnya mencerminkan satu persoalan besar tentang kedudukan ilmu, budaya membaca, pembinaan pemikiran dan kesedaran masyarakat Melayu terhadap kepentingan memiliki institusi media yang berwibawa.
Pandangan Prof. Datuk Dr. Ahmad Murad Merican bahawa masyarakat Melayu perlu mencontohi kesungguhan masyarakat Cina mempertahankan akhbar mereka wajar diberikan perhatian serius. Namun, kita perlu memahami bahawa kekuatan akhbar Cina tidak semata-mata berpunca daripada kesetiaan pembaca membeli akhbar. Ia berkait rapat dengan ekosistem sosial yang terbina melalui pendidikan, keluarga, persatuan, perniagaan, jaringan komuniti dan kesedaran kolektif untuk mempertahankan kepentingan masyarakat.










