PETALING JAYA: Dutch Lady Milk Industries Berhad (Dutch Lady Malaysia), sebahagian daripada FrieslandCampina, bersetuju mengambil alih 35 peratus kepentingan ekuiti dalam Jemaluang Dairy Valley Sdn. Bhd. (JDV), sebuah perniagaan tenusu bersepadu yang berpangkalan di Johor, daripada Kulim (Malaysia) Berhad.

Cadangan pengambilalihan itu dijangka membuka ruang kerjasama strategik antara ketiga-tiga pemegang saham JDV, iaitu Dutch Lady Malaysia, Kulim yang merupakan anak syarikat milik penuh Johor Corporation (JCorp) dan A2 Fresh Holdings Sdn. Bhd. (A2F), anak syarikat Rhone Ma Holdings Berhad.

Dutch Lady Malaysia berkata, penyertaan itu merupakan langkah penting dalam strategi pertumbuhan jangka panjang syarikat, khususnya bagi memperkukuh penglibatannya dalam segmen susu segar yang semakin berkembang di Malaysia.