SYDNEY: Syarikat kecerdasan buatan (AI) perlu mematuhi langkah perlindungan baharu yang diwajibkan apabila beroperasi di Australia, kata Perdana Menteri, Anthony Albanese.

Beliau berkata, Australia akan menubuhkan sebuah badan kawal selia keselamatan AI baharu tidak lama lagi bagi melaksanakan langkah-langkah untuk memastikan industri yang berkembang pesat itu terus terkawal.

“Tanggungjawab kita adalah memastikan kita membentuk hala tuju AI, bukannya membiarkan AI membentuk kita.

“Anda tidak boleh mematikannya dan berpura-pura perkara itu tidak berlaku. Namun, apa yang boleh kita lakukan ialah memastikan teknologi itu dibentuk demi kepentingan Australia,” katanya kepada pemberita.