KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) perlu menetapkan protokol serta kerangka jelas bagi mengawal tindakan syarikat insurans menyekat doktor daripada senarai panel kemudahan pembayaran tanpa tunai (cashless), selain menjamin kesinambungan rawatan pesakit.
Cadangan itu dikemukakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob susulan kebimbangan mengenai penyingkiran doktor pakar daripada senarai panel syarikat insurans yang didakwa memberi kesan kepada akses pesakit mendapatkan rawatan.
Ahli Parlimen Bera itu turut mencadangkan badan profesional dan industri insurans menyemak kod diagnosis serta prosedur perubatan secara berkala supaya selari dengan perkembangan teknologi perubatan.






