KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) menetapkan keperluan kawal selia bagi memastikan institusi kewangan mengekalkan langkah perlindungan keselamatan siber yang mencukupi dan terus memperkukuh pertahanannya, kata Gabenornya, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Perkembangan itu susulan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini menegaskan bahawa Malaysia perlu terus berwaspada terhadap ancaman siber yang semakin meningkat berikutan siri serangan siber yang dilaporkan di seluruh dunia sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap kelemahan infrastruktur digital kritikal termasuk sektor kewangan.

Abdul Rasheed menegaskan bahawa keselamatan siber sentiasa menjadi keutamaan berikutan ia merupakan asas kepada keyakinan dan boleh memberi implikasi terhadap kestabilan kewangan.