DALAM kemeriahan komuniti yang berkumpul untuk menjayakan program Deepavali, semangat pemuda itu berkobar-kobar untuk bersama rakan-rakan meraikan sambutan perayaan tahunan itu.
Mengenakan pakaian tradisi masyarakat India, dia juga tidak sabar untuk menjalankan tugas bermain alat muzik buat pasukannya menyanyikan lagu keagamaan di rumah yang dikunjungi.
Bagi M.Sarviyn, 22, sambutan Deepavali bukan sekadar perayaan tahunan tetapi merupakan sebahagian daripada jiwanya yang penuh dengan jati diri sebagai masyarakat India.
“Komuniti kami mempunyai aktiviti tahunan yang diadakan bagi meraikan sambutan Deepavali dengan melibatkan generasi muda untuk turut serta membawa budaya masyarakat India.










