PETALING JAYA – Belum sempat menarik nafas lega selepas beberapa kali berdepan banjir, penduduk Kampung Melayu Subang sekali lagi diuji apabila kawasan kediaman mereka dinaiki air susulan hujan lebat sejak awal pagi tadi.

Kejadian itu mendapat perhatian ramai selepas seorang pengguna Threads, @ssaerra__, berkongsi beberapa rakaman video memperlihatkan keadaan rumah yang dikelilingi air banjir berwarna keruh.

Menerusi perkongsian tersebut, individu berkenaan berkata kejadian itu merupakan kali keempat kawasan berkenaan dilanda banjir sepanjang November ini.

Berdasarkan rakaman yang dikongsikan, air banjir dilihat memenuhi kawasan halaman beberapa rumah sehingga memasuki bahagian anjung kediaman.