Sungai Buloh: Hampir 550 rumah terjejas akibat banjir kilat di Kampung Melayu Subang, di sini, susulan empat kejadian banjir berulang dalam tempoh 30 hari.

Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Sungai Buloh Datuk Seri R Ramanan berkata, tiga kejadian banjir berlaku sepanjang Oktober, manakala satu lagi melanda kawasan itu pada awal November.

Beliau berkata, jumlah penduduk yang terjejas dianggarkan hampir 1,500 orang berdasarkan purata tiga penghuni bagi setiap rumah.

"Dalam tempoh 30 hari, ini adalah kali keempat ia (banjir) berlaku. Tiga kali bulan lalu, ini adalah kali pertama. Tak sampai dua hari dalam bulan November, sudah satu kali." katanya selepas meninjau kawasan banjir di Kampung Melayu Subang, hari ini.