KUALA LUMPUR: Penyanyi popular, Aina Abdul bakal menutup saingan Eurovision Song Contest Asia 2026 apabila diumumkan tampil pada urutan ke-11 menerusi lagu Bluest Sky di Bangkok, Thailand, 14 November ini.
Turutan rasmi persembahan membabitkan 11 peserta dari negara Asia yang bakal bersaing merebut trofi sulung pertandingan itu diumumkan penganjur menerusi hantaran di media sosial.
Aina yang mewakili Malaysia akan membuat persembahan terakhir selepas peserta dari Vietnam, Kemboja, Laos, Mongolia, Bhutan, Filipina, Bangladesh, Thailand, Korea Selatan dan Nepal.
Pertandingan yang bakal berlangsung di One Bangkok Forum itu menghimpunkan barisan artis dengan latar belakang seni serta identiti muzik berbeza, sekali gus memperlihatkan kepelbagaian industri hiburan di rantau Asia.










