Kuala Lumpur: Selepas kembali menemui rentak terbaik, ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak mahu Pearly Tan-M Thinaah mengekalkan konsistensi permainan, bukan sekadar memburu satu lagi gelaran dalam baki dua kejohanan musim ini.

Selepas mengharungi tiga kejohanan memberangsangkan dengan menjuarai Terbuka Denmark, muncul naib juara Terbuka Perancis dan meraih tempat ketiga Sukan Asia, Rosman berharap momentum positif itu dapat diteruskan.

Beliau mengakui gembira dengan perkembangan pasangan nombor satu negara itu, terutama usaha mereka mengatasi masalah kecederaan yang sebelum ini menjejaskan prestasi di gelanggang.

Bagaimanapun, Rosman menegaskan konsistensi yang dimahukannya bukan semata-mata berdasarkan keputusan perlawanan, sebaliknya merangkumi mutu permainan dan prestasi individu kedua-dua pemain.