HULU SELANGOR – Tiga lelaki iaitu seorang warga Yaman dan dua warga India masih belum ditemukan selepas dihanyutkan kepala air dalam kejadian di Sungai Luit, Kampung Pertak, di sini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan hari ini dengan tumpuan di Seksyen C (Jambatan) dan Seksyen D (Empangan).
Menurutnya, pencarian secara pemerhatian di permukaan air turut dilakukan sepanjang malam tadi, khususnya di kedua-dua kawasan berkenaan.
“Setakat ini, jumlah mangsa yang ditemukan kekal lima orang, manakala tiga lagi masih belum dijumpai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.









