Kota Bharu: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mempertimbangkan untuk melanjutkan tempoh syif bertugas anggota sehingga 48 jam, sekiranya berlaku banjir besar pada musim Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 bagi meningkatkan kekuatan operasi menyelamat.
Pengarah JBPM Kelantan Farhan Sufyan Borhan berkata langkah itu, termasuk mengubah sistem syif sedia ada daripada 12 jam kepada 24 jam atau 48 jam, bergantung kepada keperluan dan situasi semasa bencana.
Beliau berkata ketika ini anggota bertugas mengikut sistem syif 12 jam yang dibahagikan kepada tiga pasukan, bagi memastikan operasi balai bomba berjalan secara berterusan.
"Untuk meningkatkan lagi keanggotaan sekiranya berlaku kejadian banjir besar, kita akan kawal cuti dan menukar daripada syif 12 jam kepada 24 jam bagi meningkatkan jumlah anggota bertugas," katanya kepada Bernama baru-baru ini.









