Hulu Selangor: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga mangsa yang hilang selepas dihanyutkan kepala air di Sungai Pertak, Kampung Pertak di sini, diteruskan hari ini dengan tumpuan di kawasan jambatan dan empangan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar, berkata tiga mangsa terdiri daripada seorang warga Yaman dan dua warga India belum ditemukan setakat jam 8 pagi ini.
"Pasukan penyelamat meneruskan pencarian menerusi kaedah pemerhatian di permukaan air, terutama di sektor C membabitkan kawasan jambatan dan sektor D berhampiran empangan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ashrul Riezal berkata, operasi SAR hari ini memberi tumpuan di kedua-dua sektor berkenaan dengan menggunakan bot serta bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM.









