Washington: Beberapa anggota keluarga Kennedy, salah satu dinasti politik paling terkenal di Amerika Syarikat (AS), pada Selasa memfailkan permohonan untuk menyertai kes mahkamah bagi menghalang Presiden Donald Trump membina gerbang kemenangan yang dicadangkan di Washington.

Mereka mendakwa struktur itu akan menghalang pemandangan dan menyebabkan kawasan perkuburan anggota keluarga mereka di Arlington National Cemetery dilitupi bayang-bayang.

Gerbang setinggi 250 kaki (76 meter) itu, berdasarkan gambaran reka bentuk, menampilkan nyalaan api yang dipegang patung wanita bersayap bersalut emas setinggi 60 kaki, selain diapit dua arca helang emas yang sedang terbang.

Struktur itu dicadangkan dibina di seberang Sungai Potomac, bertentangan Lincoln Memorial, di sebuah bulatan jalan raya berhampiran pintu masuk ke Tanah Perkuburan Negara Arlington.