KOTA BHARU: Pengalaman menghadapi banjir besar pada 2014 menjadi panduan penting Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan dalam memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan bencana luar biasa di negeri itu.

Pengarahnya, Farhan Sufyan Borhan, berkata kejadian itu memberikan pengajaran besar kepada pihaknya apabila kawasan terjejas terlalu luas hingga membataskan keupayaan pasukan penyelamat menjalankan operasi ketika itu.

"Walaupun jabatan mempunyai pelan kesinambungan perkhidmatan bagi memastikan operasi balai bomba dapat diteruskan sekiranya sesebuah balai turut dilanda banjir, skala bencana pada 2014 terlalu besar untuk ditangani menggunakan kemampuan negeri semata-mata.

"Pada masa itu, kita pun menjadi mangsa. Apa yang kita boleh buat adalah menerima bantuan daripada luar, daripada negeri-negeri lain," katanya.