KOTA BHARU – Lebih 50 nelayan di Kampung Pulau Gajah, Sabak di sini bergotong-royong menarik perahu kolek masing-masing ke darat sebagai persediaan­ meng­hadapi laut bergelora pada musim tengkujuh.

Tindakan itu bukan sekadar bagi mengelakkan perahu mengalami kerosakan akibat cuaca buruk, tetapi menandakan bermulanya tempoh sukar buat golongan nelayan yang terpaksa menghentikan semua aktiviti menangkap ikan selama tiga hingga empat bulan.

Ketua Nelayan Tanjung Kuala Sabak, Nik Ruzullaili Nik Yusof, 46, berkata, sebanyak 23 perahu kolek ditarik naik ke darat untuk menjalani kerja-kerja penyelenggaraan termasuk membaiki kerosakan dan mengecat sebelum kembali digunakan selepas musim tengkujuh berakhir.