MASALAH kemurungan dalam kalangan rakyat Malaysia meningkat dua kali ganda dalam tempoh empat tahun, dengan kira-kira satu juta penduduk berusia 16 tahun ke atas mengalami kemurungan pada 2023.
Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 merekodkan prevalens kemurungan sebanyak 4.6 peratus dalam kalangan penduduk berusia 16 tahun ke atas, berbanding 2.3 peratus pada 2019.
Lebih membimbangkan, golongan muda mencatatkan prevalens lebih tinggi apabila kadar kemurungan bagi kumpulan berusia 16 hingga 19 tahun ialah 7.9 peratus, diikuti 7.6 peratus bagi mereka berusia 20 hingga 29 tahun.
NHMS 2023 turut mendapati kira-kira 43.6 peratus individu yang mengalami kemurungan mempunyai fikiran bahawa mereka lebih baik mati atau mencederakan diri dalam sesuatu cara, menunjukkan keperluan pengesanan dan intervensi awal terhadap masalah kesihatan mental.









