KUALA LUMPUR: IHH Healthcare Malaysia akan memperluas perkhidmatan rawatan harian menerusi pembangunan Pusat Penjagaan Ambulatori atau Ambulatory Care Centre (ACC) di Iskandar Puteri, Johor bagi meningkatkan akses pesakit kepada rawatan yang tidak memerlukan kemasukan ke wad.

Ia menerusi perjanjian yang dimeterai untuk mengambil alih Afiniti Wellness di Medini yang akan dibangunkan menjadi ACC khas bagi perkhidmatan pesakit luar yang lain, sekali gus membentuk bahagian penting dalam fasa seterusnya bagi Hospital Gleneagles Johor (HGJ) di Medini.

Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare Malaysia, Dr Kamal Amzan, berkata pusat itu akan menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk konsultasi, diagnostik, prosedur rawatan harian, dialisis, endoskopi, pembedahan mata dan perkhidmatan pergigian.