AYER KEROH – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan membawa isu pembayaran duti import mesin yang didakwa masih dikenakan meskipun syarikat tempatan sudah mendapat kelulusan pengecualian daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) kepada Jabatan Kastan Eksais Diraja Malaysia (JKDM) dan Kementerian Kewangan (MoF) untuk tindakan susulan.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata perkara itu dibangkitkan beberapa pengusaha industri ketika sesi dialog bersama komuniti perniagaan di Melaka, malam kelmarin.

Beliau berkata, terdapat syarikat yang mendakwa masih perlu membayar duti ketika mengimport mesin dan peralatan walaupun sudah memperoleh surat kelulusan pengecualian daripada MIDA.