Kaherah/Istanbul: Tujuh penumpang maut manakala 112 yang lain cedera selepas beberapa gerabak kereta api penumpang tergelincir daripada landasan dan terbalik di wilayah Giza, utara Mesir pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi memetik Kementerian Kesihatan.
Kemalangan berlaku berhampiran Kampung Gerza di daerah Al-Ayyat, sepanjang jalan pertanian Kaherah-Aswan.
Kementerian memaklumkan bahawa 72 ambulans dikerahkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi kecemasan.
Menteri Kesihatan Khaled Abdel Ghaffar mengarahkan kemudahan kesihatan di seluruh Giza dan wilayah jiran, Beni Suef, meningkatkan tahap kesiapsiagaan serta menyediakan rawatan kecemasan kepada mangsa yang cedera.









