Kuala Lumpur: Pertikaian dan perang mulut di media sosial antara bekas aktivis DAP, Hew Kuan Yau atau lebih dikenali sebagai 'Superman Hew' dengan penganalisis politik, Ang Wee Shan, akhirnya terlerai di gelanggang tinju.
Dalam perlawanan yang berlangsung di pusat beli-belah di sini, baru-baru ini, Wee Shan, 40, muncul pemenang selepas menewaskan Kuan Yau, 57, secara keputusan mutlak.
Aksi berdurasi 2 minit 40 saat yang tular di media sosial menampilkan Wee Shan melancarkan serangan agresif sejurus loceng permulaan dibunyikan, sekali gus menyaksikan Kuan Yau rebah beberapa kali di gelanggang.
Laporan portal mysinchew mengesahkan perlawanan yang sepatutnya berlangsung selama tiga pusingan itu terpaksa dihentikan lebih awal selepas Kuan Yau dilihat tidak lagi mampu meneruskan saingan.










