SEBUT tentang barah atau kanser payudara, ramai menganggap ia seperti dijatuhi hukuman mati sehingga tiada semangat untuk meneruskan rawatan. Ada juga yang lambat mengambil tindakan untuk membuat pemeriksaan pada peringkat awal.

Pelbagai faktor menyebabkan separuh daripada kes kanser ini di Malaysia masih dikesan pada peringkat lewat kerana ketakutan pesakit dan salah faham mereka tentang usaha saringan.

Pakar Perunding Onkologi Klinikal di Picaso Breast Centre, Dr. Mastura Md. Yusof berkata, antara perubahan terbesar dalam rawatan hari ini adalah kefahaman bahawa kanser payudara terbahagi kepada beberapa jenis yang ditentukan oleh biologi tumor itu sendiri, bukan saiz ketulan atau umur pesakit.