PETALING JAYA: Individu yang digelar ‘Hacker Batu Pahat’ belum tentu berada di daerah itu kerana lokasi sebenar seseorang penggodam boleh dikaburkan menggunakan rangkaian peri­badi maya (VPN) atau alamat Protokol Internet (IP) dari lokasi lain.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, identiti sebenar pihak terbabit juga masih belum diketahui sama ada bergerak secara individu atau berkumpulan, justeru tiada kesimpulan mutlak boleh dibuat hanya berdasarkan lokasi yang dipaparkan dalam peta ancaman siber.

“Dalam dunia keselamatan siber, kebiasaannya pihak yang melancarkan serangan akan mengaburi jejak mereka menggunakan VPN.

“Sesiapa sahaja dari lokasi lain boleh menggunakan IP atau alamat VPN di Batu Pahat, jadi kita tidak boleh terus mengatakan dia benar-benar berada di situ,” katanya kepada Utusan Malaysia.