KUALA LUMPUR: Atlet judo negara, Amir Daniel Abdul Majeed kini memburu pentas lebih besar apabila meletakkan kelayakan secara merit ke Sukan Olimpik 2028 Los Angeles (LA28) sebagai sasaran utama dalam kariernya.

Atlet berusia 22 tahun itu tidak mahu bergantung kepada laluan kuota, sebaliknya bertekad membuktikan keupayaan sebenar dengan menempatkan diri dalam kelompok terbaik dunia menerusi pungutan mata kelayakan.

Keyakinan itu hadir selepas Amir Daniel mencipta kejayaan membanggakan apabila menghadiahkan emas sulung judo negara pada Sukan Komanwel Glasgow 2026, selain menamatkan penantian 44 tahun pingat emas acara itu pada Sukan SEA Thailand 2025.

Bagaimanapun, dia sedar laluan ke LA28 memerlukan perancangan rapi, terutama dalam memilih kejohanan antarabangsa yang mampu memberikan peluang terbaik untuk memperbaiki kedudukan ranking dunia.