Menjelang pilihan raya, kita sering mendengar pelbagai tuduhan politik. Ada yang dilabel perkauman, ada yang dituduh mengancam perpaduan, seolah-olah memperjuangkan kepentingan bangsa sendiri dengan sendirinya bermaksud memusuhi bangsa lain.

Saya fikir kita perlu lebih berhati-hati. Perkataan rasis bukan tuduhan kecil. Ia membawa makna yang berat kerana menyentuh maruah, prasangka dan penafian hak sesama manusia.

Janganlah kerana berbeza pendirian politik, kita terlalu mudah melemparkan tuduhan sehingga terlupa sejarah negara sendiri.

Lihat sahaja Melaka. Lebih 500 tahun dahulu, Melaka sudah menjadi tempat pertemuan pedagang Melayu, Cina, India, Arab dan pelbagai bangsa dari seluruh dunia.