KUALA LUMPUR: Petronas menyasarkan untuk mengurangkan tempoh daripada penemuan sumber kepada pengeluaran pertama minyak dan gas kepada 50 bulan berbanding kebiasaan 100 bulan, menerusi penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) bagi mempercepatkan analisis serta keputusan penerokaan.

Bagi menyokong sasaran itu, syarikat minyak dan gas negara berkenaan merancang meningkatkan kapasiti sistem pengkomputeran berprestasi tinggi (HPC) kepada 50 petaflops dalam beberapa tahun akan datang, lebih dua kali ganda keupayaan semasa.

Naib Presiden Kanan Malaysia Petroleum Management (MPM), Datuk Bacho Pilong berkata, peningkatan kapasiti pengkomputeran itu akan memperkukuh analisis data geosains, sekali gus mempercepatkan proses mengenal pasti potensi sumber petroleum.