WASHINGTON: Sejumlah laman web popular dunia termasuk milik Zoom, HSBC, Equifax, CNN, Salesforce dan IKEA diceroboh kod berbahaya dalam cubaan mencuri mata wang kripto serta menggodam iPhone.

Penyelidik, Scott Helme, berkata serangan itu menyasarkan pengunjung laman web milik 178 organisasi daripada pelbagai sektor menerusi platform pengoptimuman laman web, Optimizely.

Kod berbahaya itu direka untuk menukar alamat pembayaran mata wang kripto kepada alamat dompet digital milik penyerang.

Ia juga cuba mencuri nombor kad kredit ketika pengguna membuat pembayaran, mengambil maklumat pelayaran yang disimpan dalam kuki laman web serta tangkap layar, selain memasukkan kod untuk mengeksploitasi kelemahan keselamatan peranti iPhone.