KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Telekom Malaysia Bhd (TM), TM Technology Services Sdn Bhd (TM Tech) telah mendapat kelulusan dan telah dilantik sebagai penyedia perkhidmatan universal untuk projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) bernilai RM2.7 bilion.

TM melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengeluarkan kelulusan pemberitahuan untuk TM memasang dan menggunakan kemudahan rangkaian serta perkhidmatan rangkaian bagi menyediakan sistem kabel dasar laut yang menghubungkan Semenanjung, Sarawak dan Sabah.

Atas penerimaan rasmi pemberitahuan itu, TM Tech akan melaksanakan perancangan, reka bentuk, kejuruteraan, pembekalan, pemasangan, penyepaduan, ujian dan pentauliahan sistem kabel dasar laut, meliputi empat segmen kabel.