Helmi Baharum mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas tuduhan simpan kabel telekomunikasi curi milik TM, halang tugas anggota polis minggu lepas. (Gambar Bernama)PETALING JAYA: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini kerana menyimpan kabel telekomunikasi curi milik Telekom Malaysia (TM) dan menghalang tugas anggota polis minggu lepas.

Helmi Baharum, 43, mengaku tidak bersalah terhadap dua tuduhan itu di hadapan Majistret Nur Laila Mohamed Nazil, lapor Bernama.

Lelaki itu didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas dengan sengaja menghalang penjawat awam, iaitu anggota polis Faiz Yaakop, daripada menjalankan tugas di Jalan Raja Perempuan Mazwin, Ipoh, pada kira-kira 6 pagi 30 Okt.