IPOH - Seorang mekanik dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Selasa atas dua pertuduhan menghalang penjawat awam dan menyimpan kabel curi milik Telekom Malaysia (TM).Helmi Baharum, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu selepas dibacakan di hadapan Majistret Nur Laila Mohamed Nazil.Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa dengan sengaja menghalang seorang anggota polis, Sarjan Faiz Yaakop daripada menjalankan tugas sebagai penjawat awam.Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Raja Perempuan Mazwin dalam daerah Kinta, kira-kira jam 6 pagi pada 30 Oktober lalu.Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.Dalam pertuduhan kedua, tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa secara curang menyimpan harta curi iaitu satu gulung kabel milik TM yang dipercayai diperoleh daripada kegiatan jenayah di Jalan Pulai Hartamas, Simpang Pulai dalam daerah Kinta pada waktu dan tarikh yang sama.Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulqarnain Wan Asmira manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Harbhajan Singh dan Canice Chan Hong Yan.Dalam rayuannya, tertuduh memohon jaminan minimum atas alasan bekerja sebagai mekanik dengan pendapatan RM1,600 sebulan selain perlu menanggung ibunya yang berusia 66 tahun dan menghidap penyakit kencing manis.Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 bagi pertuduhan pertama dan RM4,000 bagi pertuduhan kedua, masing-masing dengan seorang penjamin.Tarikh 16 Disember depan ditetapkan sebagai sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.