PUTRAJAYA: Penilaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang diterbitkan pada 2023 mengunjurkan hampir 87,000 kematian berlebihan di Malaysia serta kos ekonomi terkumpul kira-kira RM10.18 bilion akibat kerintangan antimikrob (AMR), termasuk peningkatan perbelanjaan penjagaan kesihatan dan kehilangan produktiviti.
AMR berpotensi menjadi ancaman besar kepada manusia selepas perubahan iklim berikutan keupayaan mikroorganisma seperti bakteria, virus dan kulat untuk menjadi kebal terhadap ubat antimikrob.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata ancaman itu perlu diberi perhatian serius kerana boleh menyebabkan jangkitan biasa sebelum ini mudah dirawat seperti jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) dan jangkitan saluran kencing (UTI) menjadi sukar dikawal.








