KUALA LUMPUR: Sentuhan dua legenda bola sepak negara, Datuk Dollah Salleh dan Azman Adnan diyakini mampu merealisasikan sasaran Kuala Lumpur (KL) City FC untuk menamatkan saingan Liga Super musim ini dalam kelompok lima teratas.

Sasaran itu sebelum ini diumumkan Penaung KL City FC, Datuk Seri Fahmi Fadzil yang menganggap ia sebagai 'tugasan besar' buat skuad City Boys yang dibimbing Dollah bermula musim ini.

Pengerusi KL City FC, Syed Yazid Syed Omar menjelaskan perkara berkenaan sudah dibincangkan dalam mesyuarat dengan Azman yang dilantik sebagai pengarah teknikal kelab pada September lalu akan bersama Dollah untuk mencapai sasaran itu.

Beliau berharap peningkatan dapat ditampilkan skuad City Boys dalam perlawanan akan datang dengan pasukan itu ketika ini berada di tangga ketujuh liga selepas mengharungi enam perlawanan.